Tuesday, November 18, 2008

Fakta sejarah buktikan ketuanan sebenar di Semenanjung Tanah Melayu

Sumber: Berita Harian 18 November 2008



KEBELAKANGAN ini terlalu banyak cemekan yang menghina orang Melayu. Seolah-olah Melayu sudah hilang maruah dan hilang punca. Umno diberi kata dua, apabila seorang pemimpinnya mengatakan bahawa dalam lipatan sejarah ada penumpang di negeri Melayu; bangsa diberi malu di tanah air sendiri. Kerja perli dan mengaibkan ini dilakukan oleh pelbagai pihak terhadap kedudukan utuh bangsa Melayu khususnya dan kaum pribumi di Malaysia amnya.

Pada masa tertentu, didapati seolah-olah fakta dan sejarah menjadi alat mainan politik masing-masing, lalu Melayu dan pribumi ditempelak, dipertikai, dicemuh dan dihina. Seorang Timbalan Menteri daripada parti Gerakan lantas mendakwa pada 10 Oktober lalu pada majlis rasmi partinya bahawa orang Melayu kononnya sama saja dengan kaum lain sebagai pendatang ke negara ini.

Pemimpin celupar itu yang secara kebetulan memenangi kerusi Dewan Rakyatnya di Perak Mac lalu atas sokongan pengundi Melayu akhirnya merumuskan jika tak faham sejarah, jangan memandai-mandai. Sementara itu ada pula pihak lain yang meluahkan pendapat kononnya Melayu tak ada mempunyai taraf ketuanan.

Terbaru ialah pandangan bahawa lantaran Barack Obama baru saja menang pilihan raya di Amerika Syarikat, justeru di Malaysia juga perlu ada situasi di mana sesiapa saja harus boleh jadi Perdana Menteri; mereka yang lebih jauh igauannya melontarkan pendapat bahawa di Malaysia kononnya diskriminasi begitu hebat hingga segala prasarana politik dan sosial yang selama ini menjadi sifat semula jadi kenegaraan dan negara bangsa perlu dipinda atau diubah supaya wujud suasana sama rata dan sama rasa.

Ramai orang Melayu terasa tersinggung dengan luahan yang mempersenda bangsa mereka. Tetapi ramai pula yang terus dalam keadaan tak kisah dan lantas membiarkan saja polemik pribumi ini dipermainkan di arena politik kelompok masing-masing.

Masih ingatkah kita peristiwa di mana Melayu diberi amaran supaya jangan lagi membabitkan keris dalam soal-soal perjuangan? Masih ingatkah kita siapa yang mengatakan Melayu itupun pendatang dan semua juga pendatang ke negara ini?

Masih ingatkah kita apabila Ahmad Ismail mengingatkan fakta sejarah mengenai situasi ‘menumpang’ dan ‘pendatang’? Sekarang Ahmad Ismail digari oleh partinya sendiri. Tetapi mereka yang menghina masyarakat Melayu dan pribumi masih berdiri di busut tinggi sambil ketawa menghilai dan bertepuk tangan.

Ketua Pemuda kita pernah diberi amaran jangan cium keris lagi. Kini pula kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menjadi condong disebabkan dasar sosialis kerajaan baru Pulau Pinang. Kemudian berlaku pula amalan tangkap lepas, tangkap lepas di sisi undang-undang keselamatan negara yang selama ini menjamin ketenteraman awam. Seolah-olah kuasa politik dan undang-undang yang ada sudah luntur. Memang boleh dibandingkan dengan pepatah ‘apabila pohon tumbang kura-kura pun naik.’

Dalam persekitaran inilah kita berpolemik hari ini. Mari kita susur sejarah. Kemudian kita kaji undang-undang negara kita. Akhirnya kita rumuskan apa harus dibuat bagi pihak orang Melayu dan kaum pribumi agar masa depan anak cucu kita tidak kacau. Agar kita dan mereka tidak tercari-cari atau teragak-agak mengenai haluan dan kedudukan bangsa. Agar kita jangan seperti pantun bidalan:

Udangnya banyak di hilir
Ikan diatur dengan galah
Undang-undang memang mahir
Tapi bicara kita kalah


Dengan latar belakang dan suasana begini, kita harus meneliti semula kedudukan orang Melayu dan pribumi daripada dua aspek. Pertama dari sudut sejarah dan kedua dari sudut perundangan. Kedua-dua aspek ini sebenarnya berkait rapat. Sementara undang-undang adalah peraturan dan syarat yang dicipta manusia melalui penguatkuasaan legislatif atau lunas di Raja (Royal prerogative) fakta sejarah adalah laluan hidup dan tamadun sesuatu bangsa.

Tentunya sejarah bersandar kepada fakta tarikh dan zaman. Walaupun sebab musabab atau huraian sejarah mungkin boleh dihujah dan dipertikaikan menerusi sentimen politik, agama dan budaya masing-masing, ia tetap menimbulkan kenyataan yang mengikut sarjana dinamakan fakta sejarah.

(a) Fakta sejarah boleh dianggap sebagai faktor utama yang meneguhkan hujah bahawa orang Melayu atau stok Melayu itulah yang mula-mula mendiami Semenanjung Tanah Melayu yang dikenali dunia sebagai Malaya (Land of the Malays). Ini adalah seperti mana India adalah negeri orang keturunan bangsa India yang stok asalnya berunsur ‘Dravidian’; seperti orang Arab di Asia Barat khususnya di Arab Saudi; seperti negeri China dinamakan China lantaran bangsa Cina yang bertamadun 5,000 tahun itu mendiami dan mewarisi negara itu turun-temurun atau seperti England didiami Anglo-Saxon. Struktur dan susunan seperti ini terpakai dan diiktiraf di kebanyakan negara dan bangsa di dunia ini.

Seperti Christopher Columbus menemui Red Indians di benua Amerika pada abad ke-15 sebagai penduduk asal benua Amerika, begitulah juga I-Tsing, seorang yang menetap lama di Palembang sekitar 671 Masihi, menggunakan istilah ‘moloyu’ untuk merujuk kepada orang Melayu yang tinggal di kepulauan Melayu termasuk Semenanjung Tanah Melayu, pengembara-peniaga Arab pada abad ke-7 juga menyebut beberapa kawasan negeri Melayu seperti Pahang, Temasik, Terengganu, Jambi dan lain-lain dalam catatan mereka.

Temasek, Jawa, Inderagiri dan kepulauan lain di kawasan lautan Tenggara lazim kemudiannya dinamakan Nusantara oleh sarjana tempatan. Saudagar Arab yang menjelajah Perlak di Acheh pada 1242, Melaka 1420, Sulawesi 1470, dan lain-lain kawasan kepulauan rantau ini juga mengislamkan Raja-Raja Melayu yang pada masa itu rata-rata beragama Hindu dan menamakan mereka sebagai Sultan walaupun nama dan terma Sanskrit serta beberapa amalan budaya Hinduisme masih berpengaruh, terutama berkaitan kepercayaan animisme dan semangat.

Walaupun pedagang India mula intim dengan Melaka selang beberapa tahun selepas Parameswara membuka Melaka pada 1403, pedagang Cina hanya mula pesat di Melaka selepas pelayaran Cheng Ho. Masyarakat Nyonya-Baba dipercayai mula bertempat selepas tahun 1413. Tetapi apa yang harus diambil sebagai kenyataan atau fakta sejarah ialah bahawa Melayu adalah penduduk hakiki berkurun-kurun sebelum Melaka dibuka. Melayu sebagai warga asal Semenanjung Tanah Melayu dan Nusantara sudah difaktakan sejarah.

Jika ini masih dikhuatiri sebagai kurang cukup sebagai bukti, Sejarah Melayu penulisan klasik Tun Sri Lanang amat memadai sebagai bukti bahawa orang Melayu dan raja mereka adalah bangsa asal di kepulauan Melayu dan Semenanjung Tanah Melayu.

Kisah antiquiti berkaitan personaliti pra-sejarah seperti Raja Suran, Wan Empok Wan Malini di Bukit Siguntang, Demang Lebar Daun, Sang Sapurba, Sang Nila Utama, Cati Si-Bilang Pandai, Raja Seri Maharaja, Datuk Perpateh Nan Sebatang dan Datuk Temenggung - semua ini adalah ikon keturunan kita yang menerokai dunia sebelah sini sekurang-kurangnya sejak 2,500 tahun lalu.

Pada zaman Inggeris bertapak di Semenanjung yang secara kasarnya antara 1874 hingga 1957, tenaga buruh India dan Cina dibawa masuk bagi memenuhi kehendak politik dan ekonomi mereka. Buruh India untuk kerja raya, peladangan getah dan perkeranian; kaum Cina untuk sektor perlombongan, perniagaan runcit dan keperluan pentadbiran negeri Selat seperti Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Untuk menyamakan kedudukan orang Melayu di Semenanjung dan pribumi di Sabah, Sarawak dengan asal-usul keturunan kaum pendatang amatlah menyeleweng dan bersifat tidak jujur.

(b) Pencorakan kuasa politik yang diterjemahkan melalui kuasa pemerintahan

Tanpa menghitung panjang lebar mengenai kuasa pentadbiran Inggeris, satu-satunya institusi tradisional yang mereka tidak berjaya menghapuskan ialah hak keistimewaan dan kedaulatan Raja Melayu. Apa yang sebenarnya dianggap sebagai ketuanan Melayu ialah kedaulatan dan keistimewaan Raja Melayu.

Ini adalah kerana institusi Raja atau kesultanan Melayu itu sentiasa rapat dengan psyche kemelayuan. Secara tradisi pentadbir Inggeris seperti Frank Swettenham, Hugh Clifford, Mubin Sheppard dan lain-lain pentadbir Inggeris sering memperlihatkan sifat simpati mereka terhadap orang Melayu. Mereka menyedari kedudukan dan hak orang Melayu sebenar. Swettenham pernah berkata ‘the Malays have their own outright position as native inheritors of their land’.

Dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, ketika Bintang Tiga dan gerombolan penjahat komunis bergelut untuk merampas Malaya dari tangan British, pegawai-pegawai tinggi mereka terus bersedia dan bersimpati terhadap kepentingan orang Melayu sebagai penduduk dan pewaris asal. Perkara pokok seperti hak keistimewaan Melayu, hak kedaulatan dan kebesaran Raja Melayu, agama Islam dan adat istiadat Melayu antara lain diberi peruntukan di dalamnya.

Perjanjian ini sah mengatakan bahawa kepentingan orang Melayu dan kaum lain tidak disia-siakan. Perjanjian inilah yang menjadi asas rujukan Suruhanjaya Reid sembilan tahun kemudian yang merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Dalam laporan Suruhanjaya Reid terkandung ayat ini: ‘The Alliance in their memorandum said - The Constitution should therefore provide that the Yang di-Pertuan Besar (Agong) should have the special responsibility of safeguarding the special position of the Malays.’
Ungkapan rasmi itu membuktikan bahawa kontrak sosial atau ikatan kemasyarakatan seperti yang diperturunkan di atas adalah persetujuan yang mengiktiraf kedudukan khas orang Melayu di sisi kaum di Malaya ketika itu. Hasrat politik itu lantas dijadikan Perkara 153 di dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Walaupun Perlembagaan Persekutuan dipinda 45 kali, peruntukan ini kekal sehingga kini di bawah Perkara yang sama. Bahasa perundangan yang digunakan di bawah Perlembagaan 153 adalah bersifat wajib kerana klausa (1) memperuntukkan.

“Adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera mana-mana negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.”

Peruntukan ini sebenarnya lebih tegas lagi bahasanya di dalam versi bahasa Inggeris kerana ayat awalannya berbunyi “It shall be the responsibility of the Yang di-Pertuan Agong to safeguard the special position of the Malays and the legitimate interests of other communities...” Dengan lain takrif, Yang di-Pertuan Agong tidak dapat tidak, wajib memelihara kedudukan istimewa orang Melayu serta Bumiputera dan kepentingan sah kaum-kaum lain di negara ini.

Dari sini kita harus melihat kandungan peruntukan 153 selebihnya. Klausa (2) mentakrifkan bahawa Yang di-Pertuan Agong dalam tugas baginda memelihara kedudukan istimewa orang Melayu adalah tertakluk kepada Perkara 40 Perlembagaan yang mewajibkan nasihat Kabinet atau salah seorang daripada Menteri yang bertindak menasihati baginda.

Dalam konteks inilah Yang di-Pertuan Agong berkuasa merizabkan sebahagian jawatan dalam perkhidmatan awam. Klausa 153(2) juga menyebut mengenai permit atau lessen, biasiswa atau bantuan. Perkara 153 amat luas kerana ada perkataan ‘atau lain-lain kemudahan khas’. Klausa (3) pula memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan arahan berkaitan pemberian keistimewaan-keistimewaan itu. Penting disebutkan di sini bahawa sekali bantuan atau keistimewaan itu diberikan, ia tidak boleh dilucutkan sewenang-wenangnya.

Peruntukan tradisi yang asasi di bawah Perundangan Negeri Persekutuan

Setiap perlembagaan sesebuah negara sedia mengandungi apa yang diiktiraf sebagai peruntukan ‘entrenched’ atau yang tidak boleh diubah atau dipinda melalui proses biasa, yakni dengan hanya kelulusan 2/3 daripada anggota Dewan Rakyat yang hadir bermesyuarat. Peruntukan itu seperti yang disenaraikan di bawah hanya boleh dipinda dengan persetujuan Majlis Raja-Raja:

Perkara 10(4) perihal kuasa Parlimen membuat undang-undang pencegahan berkaitan keselamatan negara, keistimewaan dan kewarganegaraan, Bahagian 3 (Kewarganegaraan).

Perkara 38 (Majlis Raja-Raja)

Perkara 63(4) (Keistimewaan-keistimewaan Parlimen)

Perkara 70 (Keutamaan Yang Di-Pertua Negeri dan Raja)

Perkara 71(1) (Jaminan Kerajaan Persekutuan terhadap Perlembagaan negeri)

Perkara 152 (Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan)

Perkara 153 (Hak dan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera)

Perkara 181 (Kedaulatan & keistimewaan Raja-Raja Melayu)

Rumusan pertama yang boleh dibuat ialah kuasa pengimbang tetap ada pada Raja Melayu sama ada yang ada pada Yang di-Pertuan Agong, Sultan masing-masing atau pada Majlis Raja-Raja yang berfungsi di bawah Perkara 38. Di semua negeri di Semenanjung misalnya, hanya orang Melayu yang boleh dilantik sebagai Menteri Besar tetapi hal yang sama tidak wujud di Persekutuan, di Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Perkara 43 (2) syarat pelantikan seseorang Perdana Menteri hanyalah jika pada pendapat Yang di-Pertuan Agong seseorang itu mendapat sokongan ramai Dewan Rakyat. Dalam keadaan ini tentunya suatu hari nanti seorang warganegara Malaysia bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri.

Walaupun ini adalah sesuatu yang kurang menggembirakan golongan nasionalis Melayu, realitinya adalah sedemikian. Inilah yang menyebabkan seseorang ketua pembangkang di Dewan Rakyat akan sentiasa cuba mendapatkan sokongan majoriti daripada keanggotaan Dewan itu. Dalam konteks yang sama Yang di-Pertuan Agong mempunyai tiga fungsi dan kuasa yang tidak boleh dipersoalkan:

(a) Pertama melantik seseorang Perdana Menteri,
(b) kedua, tidak memperkenankan membubar Parlimen (apabila didesak oleh sesuatu pihak) dan
(c) meminta supaya diadakan satu mesyuarat Majlis Raja-Raja mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja dan mengambil tindakan darihalnya.

Kuasa ini juga wujud di bawah perlembagaan semua negeri beraja. Peristiwa di Perlis dan Terengganu pada April 2008 jelas menukilkan fakta ini. Walau apapun yang dipertikaikan, faktanya ialah Raja Melayu mempunyai kuasa mutlak walaupun ada pihak yang menyatakan bahawa Raja mesti ikut nasihat dalam menentukan sesuatu di bawah Perkara 40 Perlembagaan.

Pada suatu hakikat ini, memang benar tetapi harus difahami bahawa bahasa perundangan yang sedia ada di bawah Perkara 43(2) cukup jelas untuk membenarkan Raja bertindak melantik Perdana Menteri mengikut pandangan subjektifnya.

Ini bermakna keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera bukanlah tanpa sempadan dari segi realitinya. Justeru, keistimewaan itu harus dilampini dengan perolehan dan kepakaran ilmu secara berterusan. Ekonomi Bumiputera seharusnya kini melebihi paras 30 peratus dari segi perolehan aset. Malangnya, Bumiputera masih dikatakan berada pada tahap kurang 20 peratus.

Mungkinkah kaedah atau cara kita membuat perkiraan silap? Mungkin juga kaedah pengumpulan data tidak memasukkan fakta-fakta wajib yang lain. Sebagai warga Malaysia yang majoriti tiada salahnya jika cita-cita politik Umno misalnya ingin mencapai 50 atau 60 peratus sejajar dengan populasi Malaysia diwakili Melayu dan pribumi.

Dari sudut ini jelas bahawa penggunaan kuasa politik selama ini sudah kurang berjaya memperjuangkan kaedah atau mekanisme penyampaian dasar DEB itu walaupun dari segi pembangunan banyak kemajuan tercapai.

Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara ini memerlukan kaedah penggunaan yang baru. Ia harus dijadikan bahasa ilmu, bukan hanya setakat bahasa komunikasi dalam konteks kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan. Keadaan ‘sekerat belut sekerat ular’ dalam pembahasan harus ditinggalkan. Usaha dan tugas memantau melalui kuatkuasa undang-undang Dewan Bahasa dan Pustaka berkaitan penggunaan bahasa Kebangsaan harus diketengahkan segera.

Lantaran Kabinet sudah meluluskan pindaan undang-undang yang diperlukan setahun lalu usaha memperkukuh kedudukan bahasa kebangsaan mesti diutamakan. Bangsa yang kurang menekankan bahasa nasionalnya akan ketinggalan dalam hal pemupukan budaya nasionalnya juga.

Kedaulatan Raja-Raja Melayu memang akan tetap kukuh dan berkuatkuasa selagi pemerintahan berparlimen dan Raja berperlembagaan kekal di Malaysia. Sistem yang ada juga bermakna bahawa kepentingan warga bukan Melayu tidak diabaikan kerana kuasa Parlimen membuat undang-undang negara yang berasaskan keadilan dan kesaksamaan tetap wujud dan terpelihara.

Demikian pun, rakyat Malaysia harus diberi lunas menghormati dan menghayati kedaulatan Raja. Cara terbaik ialah dengan melunaskan Rukunegara sepenuhnya melalui latihan dan pembelajaran. Yang perlu diingati ialah, setakat mempunyai hak keistimewaan seperti yang terkandung pada Perkara 153, atau setakat kedaulatan terhad Raja-Raja Melayu (Perkara 38 dan 181), bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan (Perkara 152), perkhidmatan awam yang majoriti Melayu, agama Islam sebagai agama rasmi negara (Perkara 3) - ini semua belum menjamin kekuatan semula jadi, jauh sekali mendaftarkan ketuanan Melayu itu sendiri.

Ketuanan sesuatu kaum atau supremacy sesuatu masyarakat tidak boleh dipergantungkan sangat, lantaran sifat itu lebih kepada perasaan atau ego politik yang tidak disokong oleh kekuatan dalam perjuangan atau peruntukan perlembagaan negara.

Laungan ketuanan Melayu itu seharusnya dilihat daripada sudut kebolehan dan kemampuan, merit, dedikasi terhadap tugas dan tanggungjawab, disiplin politik dan sebagainya. Kalau kita beli undi untuk jadi ketua bahagian atau hendak jadi pemimpin dalam Umno, bagaimana kita boleh kata kita Tuan?

Sebagai warga asal, orang Melayu dan pribumi memang boleh berbangga dan mendabik dada jika sifat tinggi peradaban itu terlengkap pada diri pemimpin dan yang dipimpin. Apabila ini terbukti, dengan sendirinya orang Melayu dan kaum pribumi akan dilonjakkan oleh masyarakat Malaysia. Tetapi sekadar melaungkan Melayu tuan kepada sekalian yang lain barang sudah tentu akan menyulitkan perjuangan itu sendiri.

Hanya Raja kita yang boleh dianggap Tuan kepada semua warganegara Malaysia. Selainnya kita adalah sama di sisi undang-undang. Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan mengisytiharkan semua orang adalah sama di sisi undang-undang. Berhadapan dengan peruntukan ini tidaklah wajar mana-mana orang mendakwa atau menuntut bahawa bangsanya adalah tuan kepada yang lain. Kesultanan atau Raja Melayu yang menjadi tunggak dan simbol kuasa dan kerajaan yang berdaulat memang memungkinkan orang berani melaungkan ‘Ketuanan Melayu’.

Sebagai perbandingan, Red Indian di Amerika dan orang Maori di New Zealand, misalnya masih belum berani menonjolkan diri mereka sebagai pihak yang dipertuankan oleh warga majmuk di negara mereka. Ini disebabkan bilangan mereka yang kecil dan keupayaan politik mereka terhad. Melayu dan pribumi memang mempunyai kelebihan dari segi bilangan penduduk dan hak-hak tertentu di negara ini tetapi kekuatan politik orang Melayu sendiri sudah banyak terhakis akibat politik Umno, Pas dan PKR.

Jika kekuatan politik orang Melayu dapat disatukan atau sekurang-kurangnya Umno itu sendiri diperkasakan perjuangannya, sudah tentu kuasa bangsa akan menjana kuasa yang lebih besar. Bila itu berlaku bolehlah ‘ditepuk dada ditanya selera’. Nanti orang lain yang akan mengatakan bahawa Melayu adalah tuan di negara mereka.

Takrif Melayu itu sendiri mempunyai tiga syarat asas: pertama, seseorang itu hendaklah menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu dan menurut adat istiadat Melayu. Definisi Melayu ini tentunya menimbulkan masalah oleh kerana jika kurang tersempurnanya salah satu daripada syarat yang tiga itu mungkin menyebabkan seseorang itu tidak lagi layak dianggap sebagai Melayu.

Bagaimanapun, kesukaran seperti ini belum pernah disuai di hadapan mahkamah di negara ini. Ini tidak bermakna ia tidak akan muncul nanti sebagai suatu kemungkinan yang membawa kepayahan. Misalnya dari segi bahasa dan adat istiadat mungkin akan muncul persoalan: adakah kita kini berbahasa Melayu dengan lazimnya? Adakah kita mengamalkan budaya kita sehingga secara jelas mengandungi adat istiadat Melayu; apakah dia adat istiadat Melayu itu?

Bila semua ini dipersoalkan, sedikit sebanyak natijah tidak sempurna mungkin muncul.

Syor

Melayu-Bumiputera perlu memperkasakan politik melalui bilangan mereka yang besar

Mengenal sejarah bangsa untuk panduan perjuangan

Mengenal kelemahan politik dan ekonomi dan mengatasi dengan muhasabah diri

Politik Melayu melalui Umno mesti diubah - Fasal 3 Perlembagaan Umno perlu dihayati lantaran di dalamnya sedia terkandung agenda Melayu yang sebenar

Semua dasar berkaitan Melayu-pribumi dan Islam diputuskan terlebih dulu oleh tapisan politik sebelum diputuskan kerajaan

Hindari perjuangan lemah imej. Bertindak apabila Melayu atau Umno dicerca oleh politik luaran

Sistem penguatkuasaan undang-undang dan dasar dijamin pantas dan saksama.

Read more!

Friday, November 7, 2008

Titah DYMM Paduka Seri Sultan Perak

Titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Azlan Muhibbuddin Shah di acara penyerahan memorandum oleh Gabungan Melayu Perak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, semalam.

Sumber: Utusan Malaysia 6 November 2008


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillahi Rahmanir Rahim, BETA merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga di atas ikrar taat setia yang dilafazkan oleh rakyat Beta yang dikasihi sebentar tadi.

Kemerdekaan negara ini dicapai melalui perundingan dan persefahaman antara tiga pihak, Raja-Raja Melayu, Parti Perikatan dan Kerajaan Inggeris. Persekutuan Tanah Melayu yang mencapai kemerdekaan dalam tahun 1957 membentuk sistem berkerajaan dan bernegara berpayungkan Raja..

Semasa menerima Ijazah Doktor Persuratan dari Universiti Malaya pada 30 Jun 1979, Beta telah memperingatkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum, berbilang bangsa, berbilang agama, berbilang adat resam. Tetapi walau bagaimanapun, kita perlu ingat, dan jika tidak ingat, maka kita seharusnyalah diperingatkan, bahawa dalam negara yang semuanya berbilang kaum itu, mestilah ada suatu asas di mana kita mesti menumpukan perhatian kita. Dalam konteks ini, Malaysia telah wujud hasil dari cantuman tiga wilayah, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Persekutuan Tanah Melayu pula diasaskan atas tapak kesultanan Melayu Melaka... Perkataan 'Negeri-Negeri Melayu Bersekutu' dan 'Negeri Melayu Tidak Bersekutu' dan 'Persekutuan Tanah Melayu' masih wujud dalam undang-undang kita. Dengan lain perkataan, negara Malaysia adalah berteraskan kepada sejarah Melayu, evolusi politik Melayu, nasionalisme Melayu yang hidup subur dan kepulauan Melayu yang mempunyai sejarah kebudayaan Melayu. Faktor-faktor dan hakikat inilah yang melahirkan Negeri-negeri Melayu, Persekutuan Tanah Melayu dan akhirnya Malaysia.

Secara tersirat, pengekalan institusi Raja di negara ini adalah satu penerusan mengekalkan identiti sebuah kerajaan berpaksikan Melayu di tanah air warisan bangsa. Perlembagaan Merdeka digubal berlatar belakangkan senario kebangkitan semangat nasionalisme Melayu. Dalam luapan semangat menuntut kemerdekaan, orang Melayu bimbang akan kedudukan mereka dalam negara merdeka yang komposisi warga negaranya terdiri dari pelbagai kaum. Orang Melayu bimbang akan pencapaian taraf sosioekonomi mereka yang jauh ketinggalan secara perbandingan dengan kaum-kaum lain. Bahawa orang Melayu memerlukan jaminan - memerlukan pembelaan demi memastikan kedudukan mereka sebagai peribumi tidak terancam.

Kebimbangan orang-orang Melayu dijawab melalui jaminan perundangan dengan memaktubkan di dalam Perlembagaan Merdeka, klausa-klausa tertentu menyentuh agama Islam, Raja-Raja Melayu, adat istiadat Melayu, bahasa Melayu dan kedudukan istimewa orang-orang Melayu.

Sebarang pindaan Perlembagaan menyentuh Raja-Raja serta bidang kuasa Raja Pemerintah merangkumi agama Islam, bahasa kebangsaan, kedudukan orang- orang Melayu serta bumiputera di Sabah dan Sarawak perlu terlebih dahulu mendapat perkenan Raja-Raja. Institusi Raja berupaya memberikan keyakinan psikologi untuk melindungi kepentingan bangsa di samping melakukan keadilan kepada warga keseluruhannya. Institusi Raja berperanan sebagai lambang penyatuan dalam kepelbagaian.

Raja-Raja memahami bahawa Perlembagaan Merdeka juga memberi pengiktirafan dan perlindungan kepada warga pelbagai bangsa, agama, bahasa dan budaya. Persefahaman dan persetujuan yang telah termaktub dalam kontrak sosial berkenaan telah membolehkan negara mencapai kejayaan, kemajuan, keharmonian dan kestabilan. Negara aman dan warga hidup secara rukun dalam dimensi sosiopolitik yang mengiktiraf fakta dan hakikat sejarah.

Hari ini, jika berlaku kesilapan dan kegelinciran di peringkat pelaksanaan dasar tertentu, yang perlu diperbetulkan adalah mekanisme pelaksanaan. Dasar tunjang yang menjadi asas kepada pembinaan sebuah negara merdeka ini tidak harus disentuh, diuji dan dicabar sama sekali. Perbuatan demikian jika tidak dihentikan, dibimbangkan akan mengguris hati dan emosi orang- orang Melayu.

Oleh itu, warga dan rakyat yang Beta kasihi, hendaklah berfikiran secara rasional, tindakan-tindakan politik secara berlebihan dan keterlaluan hendaklah dihentikan segera. Kepentingan rakyat yang telah memilih kerajaan hendaklah diutamakan. Keamanan negara, kerukunan warga tidak harus dikorbankan kerana perebutan kuasa di kalangan pemimpin dan kumpulan tertentu.

Semoga negara dan warga terus diberikan perlindungan dari Allah Subhanahu Wataala dan barang dijauhkan negara dan bumi ini dari ditimpa sebarang musibah.

Wabillahi taufik, walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Read more!

Thursday, November 6, 2008

Henti guris Melayu

Oleh: Abdul Razak Din
Sumber: Utusan Malaysia 6 November 2008


KUALA KANGSAR 5 Nov. – Sultan Perak, Sultan Azlan Shah meminta rakyat supaya berfikiran rasional dan segera menghentikan tindakan-tindakan bersifat politik secara berlebihan dan keterlaluan yang mengguris hati dan emosi orang Melayu.

Bertitah semasa menerima memorandum daripada Gabungan Melayu Perak (GMP) di Istana Iskandariah di sini hari ini, baginda menegaskan, apa yang penting pada masa ini ialah menjaga kepentingan rakyat yang telah memilih kerajaan.

Titah baginda, ini bermakna, keamanan dan kerukunan warga tidak harus dikorbankan hanya kerana perebutan kuasa di kalangan pemimpin dan kumpulan tertentu.

‘‘Hari ini, jika berlaku kesilapan dan kepincangan di peringkat pelaksanaan dasar tertentu, yang perlu diperbetulkan adalah mekanisme pelaksanaan.

‘‘Oleh itu, dasar tunjang yang menjadi asas kepada pembinaan sebuah negara merdeka tidak harus disentuh, diuji dan dicabar sama sekali.

‘‘Perbuatan demikian jika tidak dihentikan dibimbangi akan mengguris hati dan emosi orang-orang Melayu,” titah baginda.

Turut berangkat pada majlis itu ialah Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah, Raja DiHilir Perak; Raja Jaafar Raja Muda Musa serta ahli-ahli Dewan Negara Perak.

Memorandum itu disampaikan oleh Presiden Gabungan Melayu Perak, Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail.

Kira-kira 2,000 wakil pertubuhan bukan kerajaan, ahli persatuan silat dan persatuan dari seluruh Perak dan Kuala Lumpur menyertai perarakan aman yang bermula dari Masjid Ubudiah ke Istana Iskandariah di sini bagi menyerahkan memorandum itu.

Memorandum berkenaan mengandungi hasrat dan perasaan orang Melayu yang menjunjung kasih kenyataan khas Majlis Raja-Raja ke-215 pada 16 Oktober lalu.

Sultan Azlan bertitah, kebimbangan orang Melayu dijawab melalui jaminan perundangan dengan memaktubkannya ke dalam Perlembagaan Merdeka (Perlembagaan Persekutuan).

Titah baginda, ia termasuk klausa- klausa tertentu menyentuh agama Islam, Raja-Raja Melayu, adat istiadat Melayu, bahasa Melayu dan kedudukan istimewa orang Melayu.

Baginda menjelaskan, sebarang pindaan Perlembagaan menyentuh raja- raja serta bidang kuasa raja merangkumi agama Islam, bahasa kebangsaan, kedudukan orang Melayu serta bumiputera di Sabah dan Sarawak perlu mendapat perkenan raja-raja.

Dalam hubungan ini titah baginda, institusi raja berupaya memberikan keyakinan psikologi untuk melindungi kepentingan bangsa di samping memberikan keadilan kepada warga keseluruhannya.

‘‘Institusi raja berperanan sebagai lambang penyatuan dalam kepelbagaian. Raja-raja memahami bahawa perlembagaan merdeka juga memberi pengiktirafan dan perlindungan kepada warga pelbagai bangsa, agama, bahasa dan budaya.

‘‘Persefahaman dan persetujuan yang telah termaktub dalam kontrak sosial berkenaan telah membolehkan negara mencapai kejayaan, kemajuan, keharmonian dan kestabilan.

‘‘Negara yang aman dan warga hidup secara rukun dalam dimensi sosiopolitik yang mengiktiraf fakta dan hakikat sejarah,” titah baginda.

Sultan Perak bertitah, orang Melayu bimbang akan pencapaian taraf sosioekonomi mereka yang jauh ketinggalan berbanding kaum-kaum lain.

Titah baginda, untuk itu orang Melayu memerlukan jaminan dan pembelaan demi memastikan kedudukan mereka sebagai pribumi tidak terancam.

‘‘Persekutuan Tanah Melayu masih wujud dalam undang-undang kita atau dengan lain perkataan, negara Malaysia adalah berteraskan kepada sejarah Melayu, evolusi politik Melayu dan nasionalisme Melayu yang hidup subur dalam kepulauan Melayu yang mempunyai sejarah kebudayaan Melayu.

‘‘Faktor-faktor dan hakikat inilah yang melahirkan negeri-negeri Melayu, Persekutuan Tanah Melayu dan akhirnya Malaysia,” tegas baginda.

Read more!

Hentikan tindakan politik keterlaluan, titah Sultan Azlan

Sumber: Utusan Malaysia 5 November 2008

KUALA KANGSAR 5 Nov. — Sultan Perak, Sultan Azlan Shah mahu rakyat menghentikan segera tindakan politik keterlaluan berhubung kedudukan dan kebesaran Raja-raja Melayu, agama Islam, Bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain.

Baginda bertitah kebajikan rakyat yang telah memilih kerajaan hendaklah diutamakan dan keamanan negara serta kerukunan rakyat tidak harus dikorbankan semata-mata disebabkan oleh perebutan kuasa dalam kalangan pemimpin dan kumpulan tertentu.

“Jika berlaku kesilapan dan kegelinciran di peringkat pelaksanaan dasar tertentu, yang perlu diperbetulkan adalah mekanisme pelaksanaan. Dasar tunjang yang menjadi asas kepada pembinaan sebuah negara merdeka ini tidak harus disentuh, diuji dan dicabar sama sekali.

“Perbuatan demikian jika tidak dihentikan, dibimbangkan akan mengguris hati dan emosi orang Melayu,” titah baginda di Istana Iskandariah di sini hari ini selepas dipersembahkan satu memorandum oleh Gabungan Melayu Perak. - Bernama

Read more!

Wednesday, October 22, 2008

Melayu bagai payung etnik

Oleh: AHMAD FAIRUZ SHEIKH ABDUL HALIM
Sumber: Utusan Malaysia 22 Oktober 2008

MASYARAKAT Malaysia tidak sama dengan yang terdapat di negara bangsa klasik tua. Di negara itu masyarakatnya terdiri daripada satu suku bangsa yang mempunyai satu bahasa, satu budaya dan satu agama. Contoh yang terbaik adalah Jerman, Thailand, Perancis, China dan lain-lain.

Suku etnik lain yang berhijrah ke negara itu tidak akan diterima sebagai warganegara walaupun sudah bergenerasi mereka tinggal di negara itu. Dasar pembinaan bangsa dalam negara itu adalah berbentuk asimilasi.

Kumpulan penghijrah ke negara itu mesti menerima bahasa, budaya dan agama suku bangsa berkenaan dan melenyapkan identiti etnik asal mereka. Inilah sebabnya hampir tidak ada sekolah rendah dan menengah di negara berkenaan yang menggunakan bahasa pengantar etnik minoriti atau penghijrah.

Masyarakat di Malaysia juga tidak sama dengan yang terdapat di negara bangsa pelbagai budaya yang terbentuk apabila kelompok manusia berhijrah ke satu kawasan baru dan membina komuniti mereka hingga menguasai tanah, sektor ekonomi, sistem pentadbiran dan politik negara itu.

Dengan kedatangan komuniti hijrah baru ke kawasan mereka, jumlah mereka yang kecil dan pemilikan teknologi perang yang terbatas telah menyebabkan mereka kalah dalam persaingan dan terpaksa berpindah ke pinggir tanah air mereka sendiri dan diletakkan di tanah-tanah rizab.

Kumpulan hijrah yang dominan ini akan menentukan bahasa, budaya, agama dan suku kaum yang boleh mencorakkan setiap aspek masyarakat setempat itu.

Walaupun akhir-akhir ini kumpulan hijrah dominan ini sudah memperakui komuniti watan yang mereka pinggirkan dengan memperakui budaya, bahasa dan kepimpinan anak watan, ia lebih bersifat sejarah dan simbolik sahaja.

Di Kanada kumpulan hegemoni penghijrah ini adalah 'Anglo-Perancis', di Amerika Syarikat 'Anglo-Saxon' berkulit putih Protestan dan di New Zealand serta Australia 'Anglo-Celtic'. Etnik kumpulan hijrah inilah yang akan menentukan kepimpinan, dasar dan pembangunan negara setempat. Masyarakat watan hanya menjadi bahan sejarah.

Selain daripada dua jenis negara tersebut, ahli sosiologi Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr. Mansor Mohd. Noor pula memperkatakan mengenai negara bangsa payung etnik. Negara dalam kategori ini memiliki pelbagai etnik. Penghijrahan komuniti lain berlaku sebelum negara itu mencapai kemerdekaan dan dirancang oleh penjajah bagi menjadi tenaga buruh di dalam kegiatan-kegiatan ekonomi seperti perlombongan, pembangunan ladang-ladang komersial yang berskala besar dan pembangunan prasarana awam negara itu.

Identiti

Di negara bangsa payung etnik ini masing-masing etnik dibiar dan dibenarkan mengekalkan identiti kumpulan mereka. Mereka akan tinggal di kawasan yang sama, bercakap dan belajar dalam bahasa ibunda mereka, bekerja di dalam kegiatan ekonomi yang sama dan diurus oleh satu pentadbiran dengan kepimpinan kaum tersendiri berdasar struktur sosial komuniti mereka yang asal.

Dalam negara bangsa payung etnik, komuniti dominan dan signifikan wujud tetapi kerana jumlah penduduk yang seimbang dan kuasa politik dan ekonomi yang berbeza telah lahirlah masyarakat yang memiliki struktur sosial yang tidak jelas. Ketegangan antara kaum boleh berlaku pada bila-bila masa dan masyarakat itu terdedah kepada konflik dan pertumpahan darah. Payung itu boleh koyak pada bila-bila masa.

Malaysia bolehlah dikatakan sebagai negara bangsa payung etnik. Dan bagi mengelakkan dimensi bahasa, budaya, agama dan etnik dimanipulasi oleh mereka yang berkepentingan, Malaysia telah melancarkan dan mengamalkan pelbagai rancangan seperti Rukun Negara, Rukun Tetangga, Kursus Perhubungan Etnik di universiti, dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) untuk memastikan perbezaan-perbezaan dapat diurus dan ditangani dengan jayanya.

Tidak pernah ada Perdana Menteri di negara kita yang tidak bercakap mengenai betapa pentingnya perpaduan. Acuan pembangunan negara dan keharmonian rakyat pelbagai budaya yang menjadi amalan negara ini sentiasa menekankan hal ketahanan negara.

Demokrasi yang diamalkan berbentuk 'perkongsian kuasa' bukan ala demokrasi Barat. Pertumbuhan ekonomi diagihkan di kalangan mereka yang terabai bukan dengan mengutamakan kumpulan kaya semata-mata. Ekstremis etnik dan agama diurus dan ditangani segera walaupun ia datang daripada keluarga dan kaum sendiri.

Malaysia boleh dijadikan sebuah negara contoh yang berjaya mengurus dan menangani dimensi sensitif dan kontroversi dalam lapangan bahasa, budaya, agama dan etnik. Rata-rata rakyat menolak tuntutan satu-satu kaum secara melampau. Sesungguhnya, hanya hubungan kaum yang harmonis sahaja yang boleh menjamin kestabilan politik dan kemakmuran negara.

Setiap kita, sebagai rakyat bertanggungjawab, perlu menyumbang kepada mewujudkan perpaduan.

Pembangunan negara selama ini telah dirancang dengan baik dan kemajuan bangsa Malaysia telah berlaku dengan aman dan makmur.

Seiringan dengan ini, nilai-nilai tradisi dan kebudayaan penduduk Malaysia turut hilang dalam arus pemodenan negara. Dalam erti kata lain, cara hidup masa silam telah berubah. Sebagai contoh, pertalian antara ahli-ahli komuniti telah berubah menjadi jauh dan tidak lagi rapat.

Pada masa dahulu, penduduk di Malaysia adalah rapat di antara satu sama lain. Mereka tanpa mengira bangsa dan agama, suka melawat jiran-jiran yang sudah lama dikenali dan sering bertegur sapa.

Masyarakat kini lebih mementingkan diri dan tidak mengenali jiran-jiran. Keadaan ketara ini dapat dilihat di kawasan perumahan sekarang terutamanya bagi penduduk yang tinggal di kawasan perumahan elit. Jurang perhubungan di antara manusia pada masa kini terlalu kaku dan jauh.

Masyarakat telah berubah daripada bentuk organisasi sosial yang berdasarkan kesatuan pemikiran, kepercayaan dan tingkah laku kepada yang berdasarkan kesatuan individu yang terikat oleh tanggungjawab atau kerja yang menuntut tenaga dan waktu yang banyak. Falsafah hidup kita lebih kepada Barat yang mementingkan gaya, individualistik, dan budaya 'makanan segera'.

Dengan mengamalkan gaya hidup seperti inilah yang menjadikan kita hilang akarnya. Kita lupa tentang falsafah hidup, seni, ajaran moral, dan pemikiran yang diwariskan oleh nenek moyang kita. Terserahlah kini kepada kita untuk menggemblengkan tenaga dan fikiran agar ekstremis dalam bentuk apa sekali pun dapat dihapuskan dan dibanteraskan hingga ke akar umbi bukan dengan secara kekasaran, paksaan atau pertumpahan darah, tetapi dengan menggunakan segala kekuatan intelektual, diplomasi dan kebijaksanaan.

Jika kita berjaya bermakna pembangunan dan ekonomi negara akan dijjamin bertambah baik dan semua rakyat Malaysia dapat mengecapi nikmatnya. Mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, dalam blognya pada 22 September 2008 ada mengatakan seperti berikut: Multi racial countries have to face race relation problems. With the need to handle racial problems, the management of the economy becomes extremely difficult.

Depan sawah tanam keledek
Keledek merah rasanya manis
Sopan dijaga santun dididik
Membentuk warga hidup harmonis.
Ibu angsa ditimpa batu
Carik bulunya luka berdarah
Utuh bangsa kerana bersatu
Runtuh negara membawa padah.

Read more!

Wednesday, September 10, 2008

Ancaman kepada Melayu

Oleh: Zulkiflee Bakar dan Noraini Abd. Razak
Sumber: Mingguan Malaysia 7 September 2008


Entah mengapa sejak kebelakangan ini sudah timbul ‘keberanian’ luar biasa daripada pelbagai pihak untuk mempertikaikan apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Antara perkara yang semakin lantang menjadi perdebatan atau perbahasan ialah mengenai Perkara 153 berhubung keistimewaan orang Melayu.

Walaupun pihak-pihak yang berbuat demikian amat memahami ia sesuatu yang sensitif namun mereka tidak mempedulikan itu semua.

Sebaliknya satu demi satu hujah mereka keluarkan bagi menggugat apa yang sudah terpahat dalam Perlembagaan. Persoalannya wajarkah perkara seumpama itu terus menjadi pertikaian? Tidakkah ia sepatutnya dihormati memandangkan ia adalah satu Perlembagaan negara?

Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR dan NORAINI ABD.RAZAK, Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Sham Rahayu Ab. Aziz (foto) secara terus terang menyifatkan, apa yang terjadi sekarang kerana orang Melayu dilihat lemah.

Malah katanya, kegagalan orang Melayu untuk berhujah mengenai intipati apa yang terkandung dalam Perlembagaan juga menjadi punca pihak lain mampu mempertikaikan apa yang sudah diperuntukkan.

Selain itu pada pandangan Dr. Sham Rahayu sikap generasi baru yang mahu memperjuangkan kesamarataan antara kaum juga turut menyebabkan segala yang ditetapkan oleh Perlembagaan mengenai orang Melayu semakin ‘terancam’.

Mingguan: Kenapa sejak kebelakangan ini perkara-perkara dalam Perlembagaan terus dipertikaikan?

DR. SHAM RAHAYU: Kalau kita mengkaji sentimen sesetengah pihak pada masa ini ia memang menunjukkan mereka mahu melihat apa yang ada dalam Perlembagaan dan kemudian mempertikaikan kewujudannya tanpa mahu memahami kenapa ia diwujudkan. Apa yang sepatutnya orang ramai lakukan ialah bertanya kenapa sesuatu perkara dalam Perlembagaan itu diwujudkan, contohnya dalam soal hak keistimewaan orang Melayu yang terkandung dalam Perkara 153.

Kalau melihat sejarah bangsa kita dan pembentukan Perlembagaan sesetengah perkara itu harus diterima, ertinya tidak boleh dirobek atau diubah semata-mata untuk mengikut perubahan semasa. Bagi saya, dalam demokrasi ada ruang bagi membolehkan perkara dalam Perlembagaan diperbincangkan tetapi bukan sampai ke tahap yang boleh menggugat Perlembagaan itu sendiri. Ini termasuklah perbincangan yang menjurus ke arah provokasi seperti hendak membuang peruntukan Perlembagaan yang sedia ada.

Apakah peruntukan Perkara 153 dalam Perlembagaan itu keterlaluan melindungi orang Melayu sehingga menjejaskan bangsa-bangsa lain?

DR. SHAM RAHAYU: Kalau kita mengkaji Suruhanjaya Reid, ia mengatakan kalau kita mengambil hak Melayu secara tidak terancang ia boleh meruntuhkan pembinaan bangsa dan negara. Atas sebab itu saya tidak bersetuju jika ada pihak mengatakan bahawa Perkara 153 memberi kelebihan melampau kepada orang Melayu.

Ini kerana sistem tersebut mesti bergerak dengan hak-hak munasabah terhadap bangsa lain. Suruhanjaya Reid merujuk salah satu terma Perlembagaan ialah menjaga kedudukan Melayu dan Islam serta menjaga hak-hak munasabah terhadap bangsa lain, jadi apabila kita menjaga kepentingan Melayu ini tidak bermakna kita mengabaikan bangsa lain. Untuk membina sebuah negara yang aman dan damai serta mewujudkan kestabilan politik kita memerlukan kesaksamaan dan keadilan.

Tetapi apa yang ditonjolkan seolah-olah orang Melayu mendapat segala-galanya sedang bangsa lain tidak mendapat apa-apa?

DR. SHAM RAHAYU: Saya berpendapat mengikut Perlembagaan orang Melayu diberi sedikit kelebihan atau keistimewaan tetapi dari segi aplikasinya mungkin tidak begitu ketara. Adalah tidak adil untuk mengatakan orang Melayu mendapat segala-galanya. Cuba lihat siapa yang mengawal ekonomi kita?

Kalau kita mengkaji laporan Suruhanjaya Reid mengenai Perlembagaan, kelebihan kepada orang Melayu diberikan sejak 1948. Pada tahun itu, orang British sendiri tidak pernah menyentuh soal Melayu dan Islam. Ini kerana ia menjadi subjek yang terlalu sensitif kepada British. Namun dalam masa yang sama terdapat terma bahawa bangsa lain tidak diabaikan.

Kenapa baru sekarang semua ini hendak dipertikaikan sedangkan ia sudah termaktub dalam Perlembagaan?

DR. SHAM RAHAYU: Punca utama kerana orang Melayu tidak pandai berhujah, kita tidak memahami sejarah sendiri. Kelemahan orang Melayu sekarang ialah tidak memahami kenapa diwujudkan keistimewaan dalam Perlembagaan. Atas sebab itulah kalau kita lihat ada di kalangan orang Melayu sendiri menentang Perkara 153.

Kalau kita merujuk pembinaan bangsa, adalah jelas semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum berhak untuk merasa bangga menjadi rakyat negara ini tetapi ia tidak bermaksud kepentingan Melayu harus dilunturkan. Kita memahami sejarah menunjukkan Malaysia adalah sebuah negara yang dianggotai oleh pelbagai bangsa tetapi kita tidak boleh mengenepikan kerangka asas pembinaan negara ini iaitu orang Melayu.

Seharusnya kita memberi pemahaman kepada bangsa lain kenapa terdapat peruntukan tertentu mengenai Melayu dan Islam dalam Perlembagaan.

Dalam soal Perkara 153 bukan mudah ia ditarik begitu sahaja. Ini kerana ia mempunyai hubung kait dengan peruntukan-peruntukan lain seperti keistimewaan raja-raja.

Kalau soal Melayu hendak ditarik balik apa yang raja ada lagi? Sedangkan institusi raja-raja bertanggungjawab terhadap dua perkara iaitu Melayu dan Islam. Institusi raja-raja dibentuk oleh Perlembagaan dengan tujuan mewujudkan kestabilan politik. Tetapi kalau soal Melayu ditarik dalam Perkara 153, ertinya raja pun tidak akan wujud. Keadaan itu kalau berlaku sudah tentulah akan menjejaskan kestabilan politik negara. Bagaimanapun kalau boleh soal mengenai Melayu ini tidaklah dibincangkan dalam suasana terlalu panas atau penuh provokasi. Tetapi dalam masa yang kita sudah tidak mampu menyembunyikan segala-galanya di bawah karpet. Masyarakat kita sudah mengetahui isi kandungan Perlembagaan. Oleh itu orang Melayu terutama pemimpin kita harus pandai berhujah dan memahami Perlembagaan tanpa sentimen politik.

Kita harus pisahkan antara isu politik dengan isu Perlembagaan. Kita perlu berbincang soal Perlembagaan secara akademik dan intelektual bukan provokasi. Saya lihat dari semasa ke semasa semakin banyak peruntukan Perlembagaan mengenai orang Melayu diganggu gugat. Dahulu ia bermula dengan Perkara 152 iaitu mengenai bahasa Melayu dan sekarang Perkara 153 pula.

Kalau pencabulan ini terus dibiarkan, ia akan menyebabkan porak peranda kerana sistem pentadbiran negara dan kestabilan politik akan terancam.

Dalam soal pemain dalam menjayakan peruntukan sedia ada, apakah ia berpunca dari kelemahan pelaksanaan?

DR. SHAM RAHAYU: Saya bersetuju kalau orang mengatakan masalah kita bukan dengan sistem tetapi pemain. Bagi saya membiarkan peruntukan-peruntukan itu dibincangkan secara provokatif mendatangkan masalah lebih besar. Dalam soal ini pemain harus memastikan peruntukan itu dijalankan sebagaimana yang dimaksudkan dalam Perlembagaan. Selain itu, mereka juga harus memantau sejauh mana peruntukan itu dilaksanakan.

Para pemain dalam sistem ini perlu berubah dan melihat balik apa yang mereka buat itu bertepatan dengan tujuan atau objektif Perlembagaan atau tidak. Ini bagi mengelakkan Perlembagaan hanya menjadi kosmetik.

Kalau Perlembagaan itu hendak dihormati ia harus dilaksanakan, masalahnya tidak ada penguatkuasaan jika ia dilanggar. Walaupun Perlembagaan bukanlah kanun keseksaan tetapi kita sudah membina satu konvensyen atau adat Perlembagaan yang harus dihormati.

Atas sebab itu kita memerlukan penguatkuasaan yang tegas ke atas pencabulan Perlembagaan. Kalau kita dilihat lemah dalam soal ini sudah pasti ada pihak yang akan melakukan provokatif untuk menolak apa-apa yang termaktub dalam Perlembagaan.

Di kalangan generasi muda adalah jelas mereka tidak menghiraukan mengenai pencabulan Perlembagaan ini?

DR. SHAM RAHAYU: Tidak dapat dinafikan bahawa generasi baru memperjuangkan kesamarataan. Saya setuju dengan pandangan bahawa akibat daripada perjuangan inilah berlakunya pencabulan Perlembagaan. Justeru kita harus melihat agenda di sebalik tindakan berkenaan.

Adakah asas kesamarataan itu menjadi benda yang kukuh? Kenapa kita analogi sistem kesamarataan kita dengan barat. Apa yang ada di negara kita terlalu unik. Sepatutnya kita pergi kepada keadilan bukan kesamarataan.

Saya rasa faktor utama yang menyebabkan kekeliruan ini berlaku kerana orang tidak faham apa konsep keadilan dalam sistem Perlembagaan kita. Kalau hendak bagi semua orang sama rata itu tidak adil. Lihatlah sejarah bangsa mana-manapun sudah pasti ada sesetengah golongan harus diberi keutamaan. Apa yang diberikan oleh Perlembagaan kepada orang Melayu tidaklah melampau. Jadi tidak perlulah lagi dipersoalkan mengenai hak keistimewaan orang Melayu ini. Bagi saya mereka yang membangkitkan isu berkenaan mempunyai agenda politik.

Kenapa orang Melayu selalu dilihat bersalah apabila mempertahankan hak Melayu?

DR. SHAM RAHAYU: Apologetik. Orang Melayu terlalu berdiplomatik dengan sifat kemelayuan, sedangkan Melayu sebenarnya kuat dan hebat, tetapi sekarang ini kita terlalu apologetik. Sikap apologetik dan diplomatik, sikit-sikit minta maaf menyebabkan orang naik tocang. Sikap ini kalau dilakukan terlalu kerap orang akan bosan. Saya rasa faktor utama mengapa hak orang Melayu di sisi Perlembagaan sering dipersoalkan ialah tidak tegas dari segi penguatkuasaan dan sifat apologetik. Inilah dua karakter yang menyebabkan Perkara 153 dipijak, menyebabkan kedudukan orang Melayu dipijak sehingga orang Melayu rasa bersalah dan malu untuk mengaku kita sebenarnya ada keistimewaan.

Sekarang ini ada pula Melayu liberal yang juga mahu supaya diwujudkan kesamarataan?

DR. SHAM RAHAYU: Kelompok ini yang menjadi racun, saya sebut ini adalah Melayu yang makan Melayu, Melayu yang menjadi racun kepada Perlembagaan. Tidak mustahil mereka yang mencetuskan semua ini. Mereka yang nak jadi juara memperjuangkan hak sama rata, tanpa memahami sejarah Perlembagaan secara semangatnya. Mereka melihat Perkara 153 itu seolah-olah membawa pandangan buruk kepada Melayu, mereka rasa keistimewaan itu macam bantuan kepada orang cacat, benda yang buruk kepada orang Melayu. Ini menjadikan orang memijak Perlembagaan. Mereka ini tali barut yang menjadikan Perkara 153 dan orang Melayu sendiri bencikan keistimewaan Melayu. Kita tidak menafikan perkembangan mutakhir ini menunjukkan wujud dua Melayu iaitu Melayu liberal dan Melayu Perlembagaan..

Kita lihat suara untuk kesamarataan ini semakin berkumandang tetapi ia seolah-olah menjurus kepada bidang tertentu sahaja?

DR. SHAM RAHAYU: Masalah ini tidak akan selesai selagi kumpulan yang tidak berpuas hati ini menyatakan dengan jelas apa sebenarnya yang mereka mahukan. Kita lihat dalam pengambilan anggota polis terbuka kepada semua kaum tetapi adakah kaum bukan Melayu berminat menyertainya. Kita tidak pasti apa benda dan sektor mana yang mereka inginkan. Kalau nak juga keistimewaan Melayu ditarik balik tunjukkan bahawa keistimewaan ini telah menafikan mereka daripada mendapat hak-hak yang munasabah termasuk dari sudut ekonomi dan politik. Tunjukkan, barulah kita fikir Perlembagaan itu layak diubah.

Adakah Doktor melihat ada agenda lain di sebalik timbulnya cakap-cakap mengenai hak keistimewaan orang Melayu ini?

DR. SHAM RAHAYU: Saya melihat isu bukan agenda saja-saja atau demi kepentingan bangsa tetapi lebih kepada agenda politik. Sepatutnya semua pihak mesti membezakan antara politik dengan Perlembagaan. Jika kita lihat kedudukan bukan Melayu terutama dari sudut politik dan ekonominya amat memberangsangkan dan bukan sedikit kalangan mereka yang kaya raya di sebalik wujudnya Perkara 153 ini. Saya tidak nampak apa salahnya dalam sistem itu, cuma mekanisme itu yang perlu dilihat balik dan saya rasa Perkara 153 tidak boleh dikompromi dalam membina bangsa Malaysia. Kita tidak boleh potong Perkara 153 sampai bila-bila pun, kerana bangsa kita memerlukan safeguard (pengawalseliaan) iaitu Perlembagaan untuk mengawal Melayu.

Kita mesti ingat di dunia hanya di Malaysia yang wujud Melayu begini, di Indonesia sudah tidak ada, di Afrika Selatan juga tidak ada identiti Melayu sebegini. Kita yang masih tulen dan mempunyai keistimewaan kalau hendak dilihat Melayu di Singapura apa agaknya yang mereka ada.

Mungkinkah semua ini berpunca daripada kelalaian di pihak pelaksana Perlembagaan itu sendiri?

DR. SHAM RAHAYU: Saya tidak fikir kerajaan semasa begitu prihatin dengan apa yang terkandung dalam Perlembagaan. Jika diikutkan misalnya Perkara 152 mengenai kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tetapi kerajaan memperkenalkan dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Walaupun untuk menarik balik dasar itu melibatkan kerugian dari aspek perbelanjaan kewangan tetapi kalau hendak menghormati Perlembagaan kita kena kembali kepada dasar lama. Jika tidak orang akan melihat dasar Kabinet bercanggah dengan Perlembagaan, bercanggah dengan sejarah dan kehendak Suruhanjaya Reid itu sendiri.

Saya percaya jika banyak sangat orang persoalkan sesuatu dasar yang ada kait mengait dengan Perlembagaan maka pasti ada silapnya. Semua pihak patut lihat balik apa yang tak kena dan sepatutnya kita pulihkan perkara-perkara yang tidak betul ini secepat mungkin.

Berikut petikan Perkara 153 Perlembagaan

Perkara 153. Perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.
(1) Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.
(2) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, tetapi tertakluk kepada peruntukan Perkara 40 dan peruntukan Perkara ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan mengikut apa- apa cara yang perlu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan untuk memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak apa-apa perkadaran yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong daripada jawatan dalam perkhidmatan awam (selain perkhidmatan awam sesuatu Negeri) dan daripada biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan dan, apabila apa-apa permit atau lesen dikehendaki oleh undang-undang persekutuan bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka, tertakluk kepada peruntukan undang-undang itu dan Perkara ini, daripada permit dan lesen itu.
(3) Yang di-Pertuan Agong boleh, bagi memastikan, mengikut Fasal (2), perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam dan biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain, memberikan apa-apa arahan am yang dikehendaki bagi maksud itu kepada mana-mana Suruhanjaya yang baginya Bahagian X terpakai atau kepada mana-mana pihak berkuasa yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi pemberian biasiswa, danasiswa atau keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain itu; dan Suruhanjaya atau pihak berkuasa itu hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.

Jangan prejudis kepada perkara 153

Senarionya sekarang Melayu cuma mempertahankan hak dalam Perlembagaan tetapi pada masa yang sama bukan Melayu menuntut tambahan hak, adakah ini bermakna akan berlaku kesamarataan yang sekali gus menjejaskan hak orang Melayu?

DR. SHAM RAHAYU: Apa yang kita faham akan sampai satu tahap di mana demokrasi seumpama barat yang menekankan kesamarataan akan berlaku di negara ini. Tetapi untuk proses tersebut menjadi kenyataan tidak diketahui bila masanya. Saya percaya tempoh 51 tahun biar pun ada pihak yang berpendapatan sudah tiba masanya untuk kesamarataan namun hakikatnya tempoh tersebut belum mencukupi. Paling penting untuk kita fikirkan ialah apabila tiba masa tersebut apa akan jadi kepada Perlembagaan kita?

Bukankah ketika itu Perlembagaan akan menjadi kosmetik?

DR. SHAM RAHAYU: Itu yang saya maksudkan. Kalau sampai ke tahap itu pasti akan timbul cadangan supaya Perkara 153 dimansuhkan daripada Perlembagaan. Mungkin kita akan sampai ke satu tahap di mana orang Melayu sendiri rasa tidak perlu lagi keistimewaan atau pun sampai satu tahap kerajaan kata kita tidak mampu mempertahankan Melayu lagi, mungkin satu kerajaan lain yang akan berkata begitu, maka ketika itu lepaslah orang Melayu macam anak ayam. Apabila berlaku keadaan seperti itu tentunya akan menimbulkan ketidakstabilan politik. Sebabnya saya melihat sejarah, mungkin orang kata apa yang dah berlaku biarkan berlalu, tetapi ada juga yang berkata, jika kita tidak belajar dari sejarah maknanya kita akan mencipta sejarah kejatuhan kita.

Walaupun Perlembagaan kita dikatakan living document, boleh berubah dari semasa ke semasa tetapi sebenarnya kesamarataan itu yang Suruhanjaya Reid mahu. Kalau kita baca semula laporan Suruhanjaya Reid sampai satu tahap tidak akan ada beza antara kaum-kaum di negara ini. Saya rasa ia terlalu ideal. Sampai macam mana kulit saya tidak akan jadi putih macam orang Cina, orang India tidak akan jadi sawo matang macam orang Melayu. Masalahnya sampai ke satu tahap kita bimbang Perlembagaan menjadi perhiasan dan ini yang perlu dimainkan oleh pihak yang menjaga Perlembagaan ini.

Jangan sampai satu tahap sama rata dan itu boleh membahayakan Perlembagaan dan kestabilan politik kita. Kita mencipta satu bentuk sistem Perlembagaan yang unik dan tiada mana-mana contoh Perlembagaan di dunia yang mempunyai ciri-ciri Perlembagaan kita. Cuma Malaysia sahaja di dunia ini ada Yang di-Pertuan Agong. Apabila saya baca laporan Suruhanjaya Reid saya tertanya-tanya adakah mereka faham keadaan di Malaysia ini atau mereka menggunakan minda Inggeris untuk menilai bangsa-bangsa yang ada.

Boleh Doktor berikan contoh wujudnya minda Inggeris dalam Suruhanjaya Reid?

DR. SHAM RAHAYU: Contohnya mereka berkata keistimewaan orang Melayu untuk substantial number of years – banyaknya itu amat subjektif, adakah 50 tahun cukup untuk membina bangsa kita, adakah 50 tahun cukup untuk orang Melayu matang. Kalau diikutkan sekarang memang orang Melayu itu matang tetapi dari segi keupayaan yang sebenar bolehkah orang Melayu berdiri. Sebab itu Perkara 153 ini tidak boleh dilepaskan kerana menyedari orang Melayu belum sampai ke tahap itu. Saya tertanya-tanya apa sangat yang bukan Melayu hendak sebenarnya. Adakah mereka tidak mendapat peluang pekerjaan, adakah mereka tidak mendapat kepentingan ekonomi, apa sangat yang disusahkannya tentang Perkara 153 ini. Lebih menyedihkan lagi apabila ada orang Melayu sendiri tidak mahu mempertahankan kedudukan Melayu.

Adakah ia mungkin disebabkan oleh kaum-kaum lain percaya bahawa kaum Melayu diberi keistimewaan keterlaluan sehingga hak menjejaskan hak mereka?

DR. SHAM RAHAYU: Kalau hendak kata mereka tidak mendapat legitimate interest (perkataan yang digunakan dalam Suruhanjaya Reid), kita sendiri lihat kedudukan kaum-kaum lain di Malaysia sekarang ini. Adakah mereka tidak diberi peluang sedangkan mereka boleh ‘survive’ malah dalam banyak bidang mereka amat berjaya. Kalau Melayu tidak diberi kedudukan ini adakah Melayu boleh survive, itu yang penting dan mesti kita tengok.

Saya juga tertanya-tanya adakah selama ini negara kita tidak aman dengan adanya keistimewaan orang Melayu. Adakah kita tidak gembira berada di Malaysia hanya kerana adanya 153 ini. Persoalannya apa susah sangat dengan 153.

Dalam buku Chinese Dilemma dan Chinese Contributions mereka bangkitkan tentang peranan mereka, sememangnya kita terima peranan mereka membangunkan Bank Negara misalnya, tapi mereka kena ingat ini adalah negara mereka dan itu adalah sumbangan mereka. Apa yang mereka tidak dapat di negara ini. Sistem pendidikan misalnya kita lihat Singapura hanya ada satu sistem, tetapi di sini semuanya ada. Perpaduan bangsa kita seperti yang dikatakan oleh Syed Naquib Al-Attas umpama jalur-jalur besi yang tidak boleh nak dicairkan kerana adanya prejudis. Adakah 153 menjadi satu isu untuk mereka prejudis kepada Melayu, saya rasa itu tidak adil untuk bangsa Melayu.

Sepatutnya mereka kena tunjukkan sejauh mana benarnya Dasar Ekonomi Baru telah menyekat legitimate interest mereka, kalau Lim Kit Siang kata orang Cina tidak diberi peluang sila perjelaskan peluang apa.

Read more!